Orang muda perlu ghairah teroka peluang

Bagi sesiapa yang pernah hidup di perantauan, mungkin mereka akan lebih memahami ungkapan “Malaysia bumi bertuah”. Terpulanglah kepada kita untuk mencari peluang di segenap ruang demi membina kehidupan yang cemerlang. Bagi mereka yang “buka mata” dan “pasang telinga”, berkat perancangan dan usaha keras, melimpah ruahlah rezeki yang bakal dinikmati. Namun, bagi yang masih berpolemik dengan pelbagai helah dan dalih, lazimnya bakal tersungkur di gerbang limpahan rezeki.

“Tiada siapa yang mampu mengubah nasib kita melainkan diri kita sendiri”

Ayat di atas adalah inspirasi pembangunan kendiri. Pergilah ke program motivasi di ceruk mana pun, semestinya ayat ini menjadi “ayat keramat”. Hatta dalam seminar yang mencecah ribuan ringgit pun, ayat ini terus diungkap-ungkap. Betapa hebat impaknya terhadap jiwa, namun masih ramai yang gagal menyerap “kuasa” ayat tersebut. Ironinya, semakin merasuk pula sikap pesimistik di benak minda “takpalah”, “cukuplah”, “biarlah”, “nantilah”, “lantaklah”, “aku-aku kau-kau”, “malas nak fikir” dan yang paling menjengkelkan ialah keegoan yang merosakkan “pergi mampuslah”!

Disebabkan limpahan rezeki di bumi Malaysia, semakin bertambahlah warga asing mencari sesuap nasi di bumi bertuah ini, hari demi hari. Sebagai contoh, sektor makanan, pembinaan, perniagaan runcit dan perladangan hampir kesemuanya diceburi oleh warga asing seperti Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Vietnam dan Indonesia. Mereka mampu melihat “emas” di sebalik kesusahan tersebut.

Sepanjang tempoh 5 tahun merasai peluang berkhidmat di Myanmar, amat bermakna buat saya untuk menghargai Malaysia, bumi yang bertuah ini. Sebagai contoh, lazimnya gaya warga Myanmar ialah sekadar berkisar kain sarung, berbaju singlet, makan sireh dan pakai selipar baldu sahaja, namun setelah berhijrah, meneroka peluang serta menikmati limpahan rezeki di bumi Malaysia, kehidupan mereka berubah, jenama seperti Adidas, Levi’s dan Nike bukanlah mimpi lagi.

Kita mungkin lali jika kawasan seperti Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India telah dibanjiri warga asing sejak sekian lama. Namun agak mengejutkan dan janggal apabila melihat kedai makan, kedai runcit, bengkel motor termasuklah kedai jual ubat dan jamu di sekitar kampung Sungai Ramal Luar , Sungai Ramal Dalam dan Medan Selera Ramal Junction, di mana kebanyakkan pekerjanya adalah warga asing. Ternyata mereka lebih peka dan mensyukuri limpahan rezeki yang tersedia berbanding orang kita sendiri.

Melihat fenomena sebegini, tercetus persoalan. Di manakah keghairahan orang kita dalam meneroka peluang yang ada, terutama generasi muda? Persoalan ini perlu dilihat secara serius dan kritikal.

Perspektif amat penting dalam membina keghairahan. Jika seseorang pekerja melihat pekerjaan pembantu kedai runcit dari perspektif keusahawanan, maka keghairahannya untuk bekerja dan belajar dari majikannya semestinya luar biasa kerana matlamatnya adalah menjadi usahawan. Tetapi jika sebaliknya, maka dia tidak ke mana.

Pada hemat saya, orang kita sedar akan perkara ini, namun sikap selesa dan mentaliti gemar disuap serta mahu mencari jalan singkat untuk berjaya masih menebal dalam diri. Justeru, tidak hairanlah kebanyakan warga asing menikmati semahunya limpahan rezeki di bumi Malaysia bertuah ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s